Anda ingin jadi freelancer dan buat duit di rumah? Mustahil ke? Tidak! Masa kini asalkan ada internet anda sudah boleh buat duit. Tetapi bagaimana?
Teruskan membaca kerana saya akan berkongsi serba sedikit tentang dunia ‘freelance’ dan bagaimana anda boleh mendapat ekstra pendapatan hari ini.
Table of Contents
Salah faham tentang Freelance
Ramai orang yang tersalah faham bahawa freelance ini bekerja secara percuma. Free– lance? Jadi percumalah servisnya? Eh, silap tu. Freelance sebenarnya bermaksud bekerja secara bebas atau bekerja sendiri. Ada juga menyangka mereka yang bekerja freelance ini seronok kerana tidak perlu bekerja mengikut office hour. Tidak ada kontrak, dan jika tak nak kerja pun takpe.
Konsep ini tidaklah salah sepenuhnya tetapi perlu diingat, freelance ini bekerja untuk diri sendiri. Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad, ada menunjukkan sebuah lakaran cashflow quadrant yang bagi saya tepat untuk menerangkan situasi freelancer. Rujuk gambar di bawah:
Jadi freelancer ini termasuk dalam golongan self employed. Jika anda membuat kerja, adalah gajinya. Kalau tidak, kempislah poket bulan tersebut.
Freelancer ini juga kebanyakannya bekerja secara solo atau sendirian. Tiada team.
Jika dilihat dari segi legal, anda tak perlu pun mendaftar dengan SSM. Tiada akaun bank bisnes juga tiada masalah. Yang penting anda dapat payment dari klien. Isunya hanyalah jika anda mendapat jumlah yang besar atau terlalu banyak transaksi dalam masa sehari. Ini kerana pihak bank boleh membekukan akaun anda.
Jalan selamat ialah dengan mendaftar SSM, milikan tunggal dan membuat sebuah akaun bank untuk urusan bisnes. Dengan ini anda juga boleh mengasingkan duit bisnes dengan duit peribadi.
Tips untuk jadi bina kerjaya secara freelance
Jadi jika dah faham apa itu freelancer, jom kita tengok bagaimana untuk memulakan kerjaya dalam dunia freelance ini.
Kumpul Pengalaman
Seperti pekerjaan yang lain, majikan sudah tentu mahukan seseorang yang berpengalaman untuk sesuatu jawatan tersebut. Begitu juga dengan klien, mereka mahukan seseorang yang berpengalaman dalam servis yang mereka tawarkan. Jadi anda boleh cuba mengumpul pengalaman seawal yang mungkin sedari bangku universiti lagi.
Contohnya di universiti, saya belajar jurusan multimedia. Jadi saya banyak melibatkan diri dengan program dan kelab dimana saya telah membuat poster,logo, banner, bunting, name tag dan juga multimedia video montage.
Jangan risau jika anda sudah melepasi momen ini.
Anda juga boleh menawarkan servis secara percuma pada peringkat awal. Contohnya jika anda ingin menjadi freelance photographer, mungkin anda boleh tawarkan servis mengambil gambar kepada rakan-rakan untuk acara seperti konvokesyen, sambutan hari jadi dan sebagainya. Anda juga boleh bekerjasama dengan photographer yang lebih berpengalaman dan menjadikan mereka mentor supaya menambah sedikit sebanyak kefahaman anda tentang servis tersebut.
Bina portfolio anda
Selepas anda mengumpul pengalaman, anda perlu membuat sebuah portfolio. Portfolio boleh dibuat secara offline atau online. Sebaiknya cari satu fail A3 dan susun kerja-kerja terbaik anda di dalam fail tersebut. Ingat! Jangan masukkan semua ya. Kerana kadang-kadang ada juga kerja yang kurang berkualiti. Kita mahukan dalam portfolio ini hanya kerja-kerja terbaik sahaja. Kenapa perlu ada portfolio dalam bentuk fail ini? Kerana bila diluar kadang-kadang kita terjumpa potensi klien, tetapi lupa untuk membawa laptop.
Selain itu, anda juga boleh buat satu portfolio online. Anda boleh menggunakan website sendiri atau platform seperti Behance dimana anda boleh mempamerkan hasil kerja kreatif anda.
Personal branding
Jangan lupa anda juga perlu menguatkan personal branding anda. Anda boleh menggunakan nama sebenar atau pun nama komersial. Pastikan nama yang anda pilih ini digunakan di semua media sosial. Jangan pula di Twitter nama lain, di Facebook nama lain. Kita mahu orang ingat dan familiar dengan entiti online kita. Jadi pastikan guna nama yang sama untuk semua platform media sosial untuk membina personal branding.
Bina akaun media sosial
Seperti biasa, anda boleh membuat media sosial untuk berkongsi kerja-kerja freelance dan servis anda. Ada yang menganggap media sosial ini sebuah platform untuk berkongsi benda yang lebih personal. Jika begitu anda boleh membuat sebuah akaun lain, khas untuk berkongsi kerja dan servis anda disamping berhubung dengan freelance lain dalam niche yang sama.
Kumpul feedback
Setelah anda membuat kerja-kerja ini, jangan lupa untuk mengumpul feedback dari klien anda. Sebaiknya minta mereka untuk memberikan feedback dalam bentuk video kerana dengan video, feedback yang diberikan lebih ikhlas disertai ton suara dan reaksi mereka sendiri. Jika tidak dapat video, feedback dalam bentuk screenshot whatsapp juga boleh membantu. Ini akan memberi gambaran kepada future client dan membantu imej anda sebagai seorang freelancer.
Pilih niche anda
Saya faham anda berkobar-kobar untuk membuat semua perkara jika anda baru dalam dunia freelancer. Namun, adalah lebih baik kalau anda fokus terhadap satu niche terlebih dahulu. Contohnya anda boleh membuat design logo, kad bisnes, dan poster. Fokuskan contohnya untuk 2 tahun pertama anda mahu membuat logo sahaja. Ini akan meningkatkan skil dan lebih mencantikkan portfolio anda. Tahun berikutnya pula mungkin boleh fokus untuk perkara yang lain. Dengan ini anda akan jumpa niche yang betul-betul anda minati dan bolehlah anda berterusan fokus terhadap niche tersebut sahaja.
Nyatakan servis yang ditawarkan
Yang paling penting ialah untuk menguar-uarkan servis yang anda tawarkan sama ada di website atau media sosial. Jelaskan servis yang anda betul-betul mahu lakukan untuk tahun tersebut agar tidak membuang masa anda atau klien. Anda juga boleh menyatakan harga untuk servis anda. Harga ini subjektif. Rate harga mungkin berbeza bagi mereka yang baru bermula dan yang mereka yang lebih berpengalaman.
Bila anda telah berpengalaman lebih lama, harga servis bukanlah perkara yang dipamerkan secara terbuka lagi. Anda hanya akan memberikan quotation atau rate card kepada prospek yang qualified sahaja.
Mudah dihubungi
Selain itu, pastikan anda mudah dihubungi. Tidak kiralah menggunakan whatsapp atau e-mel, pastikan anda membalas pertanyaan klien dalam tempoh masa yang bersesuaian. Senang kata, jangan sampai klien rasa kita endah tak endah dan tidak serius untuk bekerja dengannya. Satu tips dari saya, pastikan anda memeriksa e-mel setiap hari dan ambil sedikit masa untuk membalas hal-hal penting.
Teknik Closing
Sebenarnya ada caranya untuk mengikat klien atau prospek supaya mereka bersetuju untuk menjalankan bisnes dengan anda. Macam saya sendiri lebih suka untuk bercakap dengan prospek melalui telefon. Jika kita bercakap dalam telefon prosesnya lebih direct dan klien dapat jelaskan sebarang keraguan yang mereka ada. Ada juga klien yang lebih besar yang perlukan pertemuan face-to-face. Mereka juga mungkin perlukan proposal, invoice dan sebagainya. Jadi anda perlu tahu bagaimana untuk membuat kertas kerja ini.
Tidak kiralah medium apa yang anda gunakan, pastikan bahasa anda juga profesional. Betul, freelancer juga perlu kelihatan profesional. Yang penting adalah anda dapat memberitahu value yang boleh anda berikan kepada klien. Sebenarnya, di sini perlukan sedikit kemahiran copywriting.
Saya cadangkan untuk anda siapkan satu template khas untuk closing sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Jadi anda hanya perlu mengubahsuai template ini mengikut klien anda. Selepas itu, bolehlah follow up prospek, berikan invois, terima payment dan mulakan pekerjaan anda.
Disiplin dan pengurusan masa yang baik
Yang paling penting sebagai seorang freelancer adalah mempunyai disiplin dan pengurusan masa yang baik. Deliver servis anda mengikut deadline dan proses yang telah diterangkan kepada klien. Jika anda tidak dapat memenuhi deadline atas sebab tertentu, berterus terang kepada klien agar mereka faham dan jangkaan kedua-dua belah pihak, sama. Mungkin klien boleh bertolak-ansur dan extend deadline untuk projek tersebut.
Kesimpulan
Rasanya telah panjang lebar saya terangkan tentang dunia Freelancer ini. Jadi diharap sedikit sebanyak membantu anda diluar sana yang sedang mencari pekerjaan atau pun yang ingin menawarkan servis yang mereka ada. Yang paling penting kesungguhan dan jangan berputus asa.
Hi Ain. Penulisan ini menarik minat saya. Adakah anda seorang freelancer? Saya berminat untuk tahu lebih lanjut.